Kerana-Mu aku berubah.
Tuesday, August 16, 2011
Oh. kita masih hidup lagi? Jadi, alhamdulillah. Syukur kerna Allah s.w.t masih mengurniakan kita limpah dan rahmat yang tidak terhingga. Udara yang segar untuk dihirup, nikmat air yang tidak putus-putus, pokok-pokok yang menghijau, makanan yang mengenyangkan dan terlalu banyak lagi. Bersyukurlah, moga kita menjadi hamba-Nya yang selalu sedar betapa pergantungan kita hanya kepada Allah s.w.t.
Setiap manusia, pasti ada kisah silamnya yang tersendiri. Ada yang BERUBAH dari yang buruk kepada yang baik, malahan ada juga yang sebaliknya. Nauzubillahminzalik.
Mari, sama-sama kita muhasabah diri? Kita bandingkan perubahan diri kita dari yang terdahulu dengan sekarang. Ada perubahan ke arah kebaikan? atau sebaliknya?
Pasti dan pasti, setiap orang pasti ada asbab untuk perubahan dirinya. Ada yang berubah kerna mengikut peredaran zaman, wanita atau lelaki yang dicintainya, cita-cita, dan pelbagai macam asbab lagi. Namun, sejauh mana perubahan itu membawa KEBAIKAN?
Firman Allah s.w.t:-
"..Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri [Ar Rad 13:11]
Jelas dan nyata, nasib sesuatu kaum yang diwakili oleh sebilangan individu tidak akan berubah melainkan mereka sendiri memulakannya. Namun, perubahan pasti ada agendanya tersendiri. Fikirkan sejenak, muslimin dan muslimat sekalian, sejauh mana kita meletakkan atau menazarkan niat kita dalam islah diri untuk mencari keredhaan Allah s.w.t semata? Di dalam Kitab Hadis 40, Susunan Imam Nawawi, dalam bab yang pertama, Rasullah s.a.w bersabda:-
“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang diingininya”.
Hadis Sahih Bukhari dan Muslim
Jelas maksud Baginda, individu yang berubah tidak boleh tidak mesti mempunyai niat dalam perubahannya. Tapi, niat dalam kita berubah atau berhijrah ke arah Allah dan RasulNya adalah niat yang sebetulnya. Jadi, Mari, kita buat perubahan dalam mencari keredhaan Allah s.w.t semata. Perubahan yang kita lakukan untuk Allah s.w.t mampu mempengaruhi umat-umat manusia dalam menuju ke arah kebaikan.
Mari, kita telusuri kisah ini?
"Ketika sesi taaruf(berkenalan) bersama keluarga, NZ(bukan nama sebenar) menyatakan kesediaannya untuk disunting S(bukan nama sebenar) untuk menjadi teman hidupnya. Namun, S berkata dirinya tidak layak dan merasa rendah diri untuk bersama NZ kerana merasa dirinya tidak sebaik NZ. Oleh itu, S meletakkan perubahan dirinya untuk menjadi menjadi lebih baik kerana Allah s.w.t dan RasulNya. Setelah itu, S mula berubah. Sehinggalah ke suatu masa, ditakdirkan NZ telah berkahwin dengan orang lain atas dasar kehendak keluarga, kerna ada insan itu lebih baik untuknya. "
Agaknya, kalau kita menjadi S, apa yang akan terjadi pada kita? Kalau istilah drama melayu, pasti "frust menonggeng"! Tetapi, disebabkan kefahaman dan niatnya berubah hanya kerana Allah s.w.t dan Rasulnya, S redha dengan ketentuan-Nya. Di dalam hatinya berbisik " Ya Allah, sungguh, mungkin aku bukanlah insan yang baik untuknya, sungguh berat dugaan-Mu, namun hanya Engkau yang lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba Mu.". Sedih itu pasti ada, tapi kesedihan kita terurai dengan mengadu pada Yang Maha Mendengar. Tapi, kalau niat sebaliknya? Pasti tercetus drama-drama melayu "Bunuh diri kerana cinta, kahwin lari, Aku tidak bisa hidup tanpamu, hidup membujang sampai ke mati, dan sangat banyak lagi".
Dalam hidup ini, ada dua yang PASTI, iaitu "MATI" dan "PERUBAHAN". Jadi, mari? Sama-sama kita niatkan perubahan kita hanya mencari keredhaan-Nya, kelak di pengakhiran hidup kita, moga Allah memberkati kehidupan kita yang kekal selamanya. Wallahualam.
0 komen:
Post a Comment