Mari kenal As-Syahid Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi

Sunday, May 1, 2011

Diri ini sedar, bahawa diri ini terlalu diuntung. Setiap helaan nafas, makanan yang mengisi ruang perut, minuman yang menghilangkan dahaga, jari jemari yang cukup untuk membuat perkongsian ini, dan lebih banyak lagi nikmat yang tidak mampu kita hitung di saat kita lahir di dunia ini. Oleh itu, bersyukurlah dengan mengucapkan "alhamdulillah", kerana itulah tanda peringatan pada yang Ilah. Sekadar fikir tanpa zikir, ibarat badan tanpa roh, begitu juga sebaliknya. Fikir dan zikir haruslah selari, agar kita mengerti konsep "Syukur" dengan sebaiknya. Moga kita tergolong sebagai hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. InsyaALLAH (^^,)

Syeikh Ahmad Yassin (Kiri) dan Dr. Abdul Aziz Ar-Rantisi (kanan)

Mari, kita sama-sama mengenali pejuang syahid kotemperari ini?
Nama sebenar beliau adalah Abdul Ali Aziz Abdul Hafiz Ar-Rantisi. Beliau dilahirkan di Kampung Yubana yang terletak di antara Asqalan dan Yafa (Jafa). Beliau lahir pada 23 Oktober 1947. Adik beradik beliau terdiri daripada 2 orang lelaki dan 9 orang perempuan. Pada awal kehidupannya, beliau dibesarkan di Kem Pengunsi, Khan Yunus yang terletak di semenanjung Gaza berikutan peperangan yang berlaku di antara tentera Palestin dan Regim Israel.

Beliau memulakan pendidikan di sekolah pelarian yang disediakan seawal umur 6 tahun. Kemudian telah berjaya menamatkan pengajian rendah dan menengah pada tahun 1965. Beliau yang merupakan "genius" telah menunjukkan kecenderungan kepada agama semenjak dari awal bangku persekolahan.

Beliau telah melanjutkan pengajian ke dalam bidang kedoktoran dan berjaya menamatkan pengajian di Universiti Iskandariah, Mesir pada tahun 1971. Dengan kelulusan akademik sebegini, beliau boleh hidup mewah. Namun, dek kesedaran jihad dan cintanya terhadap islam, beliau memutuskan untuk berkhidmat di Hospital Nasir,Palestin. Setelah beberapa detik, beliau kembali menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam ijazah sarjana muda di dalam bidang yang sama. Dalam pada masa itulah beliau bersungguh-sungguh menghafaz Al-Quran. Pada 1976, beliau pulang ke Palestin dengan membawa fikrah ikhwanul muslimin iaitu hanya islam sebagai jalan penyelesaian menentang zionis. Pada tahun 1978, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pediatrik di Hospital Nasir dan berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Ghazzah.
Saat manis ketika para mujahid ini berbicara :-)

Beliau menamatkan zaman bujangnya bersama Rasya Ar Rantisi yang dikenali sebagai Ummu Muhammad dan di kurniakan dua cahaya mata lelaki dan empat orang perempuan. Disebabkan semangat juang dan ingin membebaskan palestin, beliau bersama Syeikh Ahmad Yassin telah menubuhkan HAMAS yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. HAMAS telah menyeru para penduduk palstin untuk berjihad menentang israel disebabkan penindasan terhadap penduduknya, dan juga kemalangan yang disengajakan menggunakan lori sehingga menyebabkan 4 orang terbunuh dan 9 lagi cedera.
Indahnya ukhuwah antara mereka (^^,)

Beliau telah diletakkan di barisan hadapan HAMAS mengiringi Syeikh Ahmad Yassin. Namun, kekejaman israel terserlah apabila membunuh Syeikh Ahmad Yassin dengan apatche pada 22 Mac 2004! Kejamnya mereka kerana membunuh orang yang lumpuh dan hampir buta,tetapi disebabkan takut dan kecut dek kepimpinan mujahid yang mulia ini, barulah Israel laknatullah ini berbuat deminkian.
Logo Hamas :-)

Kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin tidak sama sekali melunturkan semangat para pejuang HAMAS, terutama Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi. Beliau memegang tampuk kepimpinan HAMAS dalam meneruskan agenda perjuangan menentang taghut Israel! Di dalam satu kenyataan beliau

"Sekiranya diberi pilihan untuk mati dengan apatche atau sakit jantung, saya lebih rela mati dengan apatche"

Allahu, tidak lama kemudian, beliau menemui Allah s.w.t pada 17 April 2004 disebabkan oleh tembakan misil apatche. Di dalam kejadian itu, para pendampingnya Akram Nasir dan Al Ghurrah turut menemani As-Syahid menuju ilahi.

Saya cukup terharu dan terasa perjuangan yang dibawa oleh para mujahid ini. Agaknya, bila pula masa kita? Adakah kita punya keberanian seperti mereka? Pokoknya, adakah iman kita sehebat mereka? Orang-orang syahid adalah mereka yang punya iman yang kuat, bukan iman yang terang malap di tiup angin jahiliah. Moga kisah ini dapat memberikan ibrah kepada kita. Kita PASTI akan menemui pengakhiran hidup kita, cuma bagaimana caranya, pilihlah. Mati sebagai seorang islam yang berjuang untuk agama-Nya, atau yang hanya berpeluk tubuh. Akhir kalam, Wallahualam..


Read more...

Suntikan Semangat Istiqamah!

Ya Rabi, sudah berhabuk blog ini! Agaknya berapa lama saya meninggalkan laman web ini? Setelah sekian lama "melupakan" wadah ini, saya tetap bersyukur kerana Allah s.w.t akhirnya membuka hati saya untuk memaparkan perkongsian baru.


Pada 1 mei 2011, bertempat di Masjid As-Solihin Bangi, saya telah menghadiri kursus "Dakwah melalui Penulisan" yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku yang cukup sinonim dengan "Aku Terima Nikahnya".



Semasa awal sesi penyampaian, Ustaz bertanya "Siapa ada blog?"
Dan adalah sebahagian peserta yang mengaku, tapi bukan saya kerana blog jarang dikemaskini.
Ustaz Hasrizal bertanya lagi " Blog siapa yang bersawang?"
Lantas saya tertunduk (Terkena!)
Dengan berseloroh Ustaz berkata "Takut orang fikir pemilik laman blog ini telah mati"
Diiringi dengan gelak tawa peserta termasuk saya.
Dalam masa sama tertunduk kali ke-2 (Terkena lagi!!)

Seloroh Ustaz Hasrizal tepat ke hati saya. Oh, barulah diri sedar yang diri ini lemah dan leka dalam istiqamah. Allah.. lemahnya hamba-Mu ini.
Di pertengahan penyampaian beliau menghuraikan satu firman Allah s.w.t:-

"Dan hendaklah santiasa ada diantara kamu golongan(berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah"
-Ali Imran 3:104-


Bila diperdengarkan firman ini, saya terasa seperti mendapat satu suntikan istiqamah! Tambahan beliau, wadah dalam medan dakwah yang paling efektif pada zaman serba canggih ini antaranya adalah blog! Mendengar kepada kenyataan itu, tuntas hati ini terlintas "Allah, ruginya aku, dimasa yang telah berlalu, wadah ini ku biar terbengkalai tanpa dikemas kini dengan ilmu yang sarat ku terima dikala Usrah. Alangkah ruginya!"

Di akhir penyampaian, Ustaz menyatakan kepada kami agar mencari titik perubahan "paradigma". Lantas hati berkata
"Aku perlu berubah dan istiqamah di dalam medan penulisan untuk dakwah yang muntij, demi Allah, InsyaALLAH!"


Jadi, dalam perkongsian kali ini, saya memohon para blogger semua untuk mendoakan saya agar istiqamah di dalam wadah ini. Kerna, jika ilmu yang disampaikan bermanfaat setelah saya bertemu yang Esa, inilah bekalan tambahan tika menunggu Hari Perbicaraan.

Di akhir kalam, moga kita jadi insan yang bermanfaat kepada insan lain. Erti hidup untuk memberi, biarlah menerima tika saat bertemu Ilahi. Wallahualam.

Shah Redza Rosli,

Read more...

Impak maksima

Friday, March 25, 2011

Alhamdulillah. Walaupun penat setelah melalui detik-detik di bengkel, diri ini akan sentiasa bersyukur di atas limpah dan kurnia-Nya, kerana penat itu juga nikmat :-)
Kadang-kadang saya terfikir, bagaimana ingin melatih diri ini untuk dimanfaatkan sebaiknya untuk dakwah dan tarbiyah? Saya teringat satu pepatah dari naqib saya:-

"Antum hanya membazir umat kalau ikut tarbiyah,tapi tidak buat dakwah"

Ayat yang padat dan tepat ke hati saya. Sejenak saya terfikir, saya perlukan impak maksima untuk memacu dan mengemudi perubahan diri ini. Tiada masa untuk bertangguh lagi, kerana bila-bila pun kita boleh PERGI.

Oleh itu, mari sama-sama berhijrah? Mari kita menjadi hamba-Nya yang lebih baik, disamping kita menjadi lebih baik, kita sama-sama mengajak para sahabat kita untuk merasai apa yang kita rasai. Wallahualam

Read more...

Pakaian?

Thursday, March 24, 2011

Alhamdulillah, syukur kepada-Nya, saya diberikan ruang dan peluang untuk memaparkan entri yang baru. Oh, sudah begitu lama saya meninggalkan alam blog ini. Di kala ingat keseronokannya, rindu dirasa, tetapi kebanyakan masa dilupa, mungkin kerana diri ini sering alpa. InsyaALLAH, moga entri kali ini boleh memberikan sedikit ilmu dan perkongsian, agar setiap perlakuan dan tindakan kita selaku hamba-Nya tidak lari sebagai ibadah kepada-Nya.

Moga Aqef akan membesar sebagai "Syabab"-InsyaALLAH :-)

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, pernahkah anda berjumpa para graduan yang berkelulusan aliran agama tapi fitrahnya tidak kelihatan seperti yang sepatutnya? Mari, sama-sama kita bayangkan, seramai mungkin yang berkelulusan agama seperti Tahfiz, Syariah dan lain-lain lagi berketrampilan dengan songkok @ Kopiah, tasbih, berjubah, dan macam-macam lagi. Kebanyakan kita akan meletakkan mereka sebagai "golongan agama" sepatutnya mempunyai penampilan sedeminkian.

Sekarang, apa kata kita bayangkan yang sebaliknya? Ustaz ini memberi ceramah dengan memakai "topi" ataupun "cap", t-shirt dan seluar khakis. Penampilan yang cukup bersahaja. Apa yang anda akan fikir? Di sini, saya senaraikan pemikiran yang mungkin ada:-

"Ustaz ni buang tebiat ke?"
"Rock r ustaz ni"
"Ustaz ni sesat ni"
"Weh,biar betul ni"

Mari, kita berkongsi sebuah cerita?
Kisah yang berlaku di Turki, seorang ahli sufi yang bernama Nuruddin Khoji menunggang keldainya menuju ke sebuah perkampungan. Penampilannya tepat sebagai ahli sufi dengan mengenakan jubah, serban, dan lain-lain lagi. Menjelang saat tiba di kampung, para penduduk pun berkata "Oh, ahli Sufi, Wali Allah, Ahli Sufi". Kemudian, Nuruddin Khoji ini turun dari keldainya, lantas bertanya "Wahai saudaraku, apakah yang dimaksudkan dengan Ahli Sufi?". Salah seorang penduduk menjawab "Kerana engkau berjubah dan berserban". Lantas, Nuruddin Khoji terus membuka serbannya dan memakaikan serban kepada keldainya. Beliau pun membalas "Sekarang keldai ini ahli sufi".

Jubah putih menampakkan imej yang bersih :-)

Apa ibrahnya para sahabat? Bagi saya, seorang muslim dan mukmin wajib mempunyai penampilan yang baik dan bersih, kerana Allah amat sukakan hamba-Nya yang menjaga kebersihan. Tetapi, penampilan bukanlah kayu pengukur terhadap tahap taqwa dan iman yang sebenar. Jangan dipandang mereka yang berpakaian biasa seperti orang awam, kerna mungkin ilmu dan fikrahnya lebih dari mereka yang berpenampilan seperti para ilmuwan agama. Bagi saya, sebaik pakaian adalah pakaian "TAQWA".

Ini kerana firman Allah s.w.t:-
"Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa itu adalah lebih baik. Deminkianlah sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat" -Al-Araf -7:26"

Saya suka melihat mereka yang thabat dan siqah dengan mengikuti Rasullah s.a.w dengan mengenakan pakaian yang mengikuti sunnah, tetapi kita tidak boleh sempitkan pemikiran dan "rigid" dengan penampilan, kerana tahap ukuran ketaqwaan seseorang bukan dengan pemakaian, tetapi dengan IMAN. Akhir kalam, mari gosok pakaian "TAQWA" kita? Usah biar ia renyuk, kelak di kemudian hari kita yang remuk. Wallahualam :-)


Read more...

Pelik tetapi benar

Monday, March 7, 2011

Alhamdulillah. Syukur punya ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah s.w.t untuk memaparkan tajuk terbaru, setelah sekian lama lena dan sepi dari ruangan maya ini. InsyaALLAH, moga setiap perkongsian dan entri yang dikongsi daripada saat ini dan seterusnya dapat memberikan pengajaran dan nasihat. InsyaALLAH.

Saya pelik, tetapi inilah hakikat sebenar yang telah berlaku. Saya pelik, ukhuwah yang terjalin ibarat bunga yang mekar di pagi hari layu usai di tengahari. Asbabnya? Cakap belakang, istilah senangnya adalah mengumpat.

Ya, benar, saya sangat pelik dengan situasi yang berlaku. Saya punya seorang teman yang saya kira rapat, berkongsi masalahnya dengan saya. Sahabat ini bicara, mungkin disebabkan dia punya kekurangan di dalam sebahagian perkara, di begitu lancang dan hebat dikutuk di belakangnya.

Lebih pelik lagi, teman itu cukup hebat dalam bermuka. Ketika bersua, senyum lagak si perawi , bicara manis bak madu, muka berseri ibarat sang purnama. Di belakangnya pula, itulah mulut yang membawa bisa dan racun, gigi yang diasah untuk memakan daging saudaranya sendiri!

Saya pelik, tetapi inilah kebenarannya. Kadangkala, dalam sedar atau tidak, mungkin kita telah melakukannya. Segeralah beristighfar sekiranya tersedar. Jauhkanlah diri kita dari sikap dan perangai sebegini, kerna sungguh itulah yang Allah benci. Firmannya:-

"Celakalah bagi pengumpat dan pencela"-Al:Humazah:1

Allah s.w.t mencelakakan mereka yang mengumpat dan mencela. Teorinya cukup senang,

Celaka dari manusia, apa ada?
Celaka dari Allah s.w.t, itulah azab tidak terperi bisanya!


Ini adalah peringatan kepada diri saya dan para sahabat. Moga perkongsian ini dapat memberikan ibrah (pengajaran) kepada kita, agar berhati dalam menitipkan tutur kata kita. Ingatlah, setiap perkataan yang keluar, itulah dogma yang menghiasi hati kita. Akhir kalam, moga kita bisa menjadi insan dan hamba-Nya yang lebih baik. Wallahualam


Read more...

Profesion Daie

Profesion Daie
Sungguh Kacak dan Bergaya.

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP